Khamis, 24 Mac 2011

APA & KENAPA WAHABI?


Terlalu ramai pembaca yang bertanyakan kepada saya, wahabi itu apa? kenapa wahabi ini sesat, saya lihat mereka cuba untuk menjaga ketulenan agama, kenapa mereka digelar sebegitu?, dan banyak lagi. Untuk menjawab persoalan ini, saya suka untuk menjemput para pembaca membaca tulisan ini dalam keadaan tenang dan ikhlas. Ini bagi memastikan kita boleh menilai sesuatu konflik itu dengan nilaian ilmiah dan dengan niat ingin mencari kebenaran.


Sudah hampir 4 tahun laporan muka utama sebuah akhbar perdana tempatan yang berjudul “Fahaman Wahabi Menular”. Kebanyakan kenyataan dalam laporan tersebut adalah tidak tepat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh seorang ustaz, Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus dalam bukunya Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan Yang Ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006. Namun ada dua kenyataan yang boleh dikatakan tepat:

* Pertama: Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman Wahabi sedang menular. Ini tepat, bahkan yang lebih jitu adalah fahaman Wahabi memang sungguh-sungguh sedang menular. Ia seumpama arus tsunami yang menenggelamkan pelbagai fahaman, pengaruh, jamaah dan aliran lain yang ada di Malaysia.

* Kedua: Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman Wahabi mendapat tempat di kalangan cerdik pandai umat Islam. Ini tepat, tetapi realiti masa kini membuktikan bahawa fahaman Wahabi juga sudah mendapat tempat di kalangan mereka yang berada dalam pelbagai lapisan dan latarbelakang.

Apa Dan Kenapa Wahabi?

Saya biasa ditanya, apakah fahaman Wahabi? Jawapan saya mudah sahaja: “Ia adalah pemikiran dan amalan Islam berdasarkan dalil dan hujah yang berbeza dengan kebiasaan masyarakat”. Soalan seterusnya, kenapa fahaman Wahabi mendapat tempat secara meluas di kalangan umat Islam? Terdapat beberapa jawapan bagi persoalan ini:

Pertama: Fahaman ini memandang Islam sebagai suatu agama yang berdasarkan ilmu. Oleh itu ia tidak membicarakan Islam melainkan dengan metodologi ilmiah yang tinggi lagi berdisiplin. Fahaman ini menolak bicara Islam yang berdasarkan mitos, khayalan, cerita-cerita dongeng dan apa-apa yang seumpama. Dalam suasana umat Islam yang semakin meningkat taraf keilmuannya, mereka mula beralih kepada Islam yang berdasarkan ilmu, yakni dalil dan hujah.

Kedua: Fahaman ini meningkatkan lagi penghayatan umat Islam terhadap agama Islam. Jika sebelum ini umat hanya mengenal Islam berdasarkan hafalan “fardhu ain”, kini umat mula mengenal Islam berdasarkan dalil dan hujah. Umat Islam mula mengenal kenapa mereka beribadah dengan tatacara sekian-sekian, hikmah di sebalik sesuatu ibadah, tujuan di sebalik sesuatu hukum dan objektif yang ingin dicapai oleh syari’at kepada manusia.

Ketiga: Fahaman ini memberi penekanan kepada usaha tajdid, iaitu usaha membersihkan agama Islam dari pelbagai pencemaran sehingga ia kembali tulen. Ketulenan ini adalah sesuatu yang benar-benar asing kepada masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah sesuatu yang baru, sekali pun ia sebenarnya sudah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Usaha tajdid memberi nafas baru kepada umat Islam. Mereka mula melihat keindahan, kemudahan dan kesyumulan Islam sebagaimana yang dilihat oleh generasi pertama yang menerimanya secara tulen daripada Rasulullah s.a.w..

Keempat: Fahaman ini menyentuh isu-isu terkini lagi relevan dengan suasana umat Islam. Sebagai contoh, apabila fahaman yang lain masih memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dengan air perigi, fahaman ini memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dalam kapalterbang. Apabila fahaman lain memberi perhatian kepada cara berzikir di atas pokok, fahaman ini memberi perhatian kepada cara beribadah di atas kenderaan moden seperti LRT, Monorail, Komuter dan sebagainya. Oleh itu tidak asing juga apabila didapati antara yang kehadapan dalam menangani isu-isu liberalisme, pluralisme, feminisme dan athiesisme adalah tokoh-tokoh yang disandarkan kepada fahaman ini.

Kelima: Fahaman ini tidak membataskan ahli-ahlinya kepada jamaah tertentu. Tidak ada sistem mendaftar keahlian, berbai’ah kepada amir, perlantikan ahli jawatan kuasa tahunan dan lain-lain yang biasa ditemui dalam jamaah-jamaah Islam. Seseorang itu boleh sahaja mengikuti fahaman ini dan pada waktu yang sama terus bergiat aktif dengan jamaah yang dianggotainya. Hanya saja fahaman ini mengingatkan umat Islam agar membetulkan tujuan mereka bergiat aktif di dalam sesuatu jamaah. Hendaklah tujuan tersebut demi kebaikan Islam dan umatnya, bukan demi memelihara maruah jamaah dan menjaga kedudukannya sebagai yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain.

Di Mana Salahnya Fahaman Wahabi?


Secara umum, tidak ada yang salah dengan fahaman Wahabi kecuali namanya. Memang, ada segelintir orang yang mengikuti fahaman ini dengan semangat yang mendahului ilmu dan kematangan sehingga mereka berlebih-lebihan dalam mengkritik dan mencela. Namun tindakan segelintir tidak boleh dijadikan hujah untuk menghitamkan keseluruhan fahaman ini dan majoriti yang mengikutinya berdasarkan ilmu dan kematangan.

Fahaman Wahabi bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam atau terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Malah ia lebih mendekati Islam yang sebenar dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tulen. Terkecuali adalah nama “Wahabi” yang disandarkan kepada fahaman ini, ia adalah nama yang sengaja digunakan oleh sebahagian agamawan sebagai senjata untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka daripada fahaman yang murni ini. Kenapakah perlu ditakut dan dijauhkan orang ramai daripada fahaman ini? Paling kurang ada dua sebab utama:

Sebab Pertama: Apabila fahaman ini membicarakan Islam berdasarkan metodologi ilmiah, akan terbongkar kesilapan, kedongengan dan kepalsuan apa yang selama ini disampaikan oleh para agamawan tersebut. Dalam menghadapi suasana ini, para agamawan terbahagi kepada dua kategori:

* Pertama adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama berdasarkan sikap jujur lagi amanah. Mereka membetulkan apa yang pernah disampaikan sebelum ini seandainya ia sememangnya tidak tepat.

* Kedua adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama kerana maruah dan status. Mereka sukar untuk mengakui bahawa apa yang mereka sampaikan sebelum ini adalah tidak tepat. Maka mereka mencari helah untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka dari kebenaran tersebut. Helah tersebut adalah: “Berhati-hatilah dengan fahaman Wahabi kerana ia terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah……”

Sebab Kedua: Fahaman ini benar-benar mendapat sambutan daripada umat Islam sehingga kuliah-kuliah pimpinan tokohnya dibanjiri oleh hadirin dari pelbagai latarbelakang. Suasana ini bertolak belakang dengan kuliah-kuliah lain yang semakin lengang sehingga akhirnya dibatalkan oleh pihak penganjur. Dalam menghadapi suasana ini, sekali lagi para agamawan terbahagi kepada dua kategori:

* Pertama adalah mereka yang memiliki sikap yang positif dimana dengan sikap tersebut mereka berusaha untuk mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan, selari dengan kehendak para hadirin.

* Kedua adalah mereka yang memiliki sikap yang negatif dimana mereka enggan mempertingkatkan
mutu kuliah yang disampaikan. Pada waktu yang sama mereka tidak boleh berdiam diri kerana semua ini melibatkan sumber pendapatan mereka. Dengan berkurangnya jemputan, berkuranglah juga pendapatan. Maka mereka perlu mencari helah untuk menjanakan kembali sumber pendapatan dengan berkata: “Berhati-hatilah dengan kuliah orang-orang Wahabi, mereka itu ditaja oleh pihak Barat……”

Siapa Yang Sebenarnya Salah?

Diharapkan melalui penjelasan yang ringkas di atas, para pembaca sekalian dapat mengetahui kisah sebenar di sebalik gelaran atau tuduhan “Wahabi”. Tidak percaya? Cubalah mengkaji salah satu dari kitab Mazhab asy-Syafi’e yang muktabar dan pilih satu hukum atau amalan yang berbeza dari kebiasaan masyarakat. Nescaya anda akan dituduh “Wahabi” sekalipun rujukan anda ialah kitab muktabar Mazhab asy-Syafi’e.

Di sini ingin saya tambah, bahawa yang tidak benar bukan sekadar tuduhan “Wahabi”, tetapi sikap orang yang menuduh itu sendiri adalah tidak benar. Ini kerana Islam melarang umatnya daripada tuduh-menuduh, cemoh-mencemuh dan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang tidak baik. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [al-Hujurat 49:11]

Akhir kata, apabila anda mendengar seseorang berkata: “Si fulan Wahabi”, “Kumpulan itu Wahabi”, “Ini majalah Wahabi” atau apa-apa tuduhan seumpama, maka ketahuilah bahawa kesalahan tidak terletak pada yang dituduh tetapi pada yang menuduh.

Selasa, 22 Februari 2011

7 persoalan buat 'Syeikh' Zamihan al-Ghari


7 persoalan buat 'Syeikh' Zamihan al-Ghari

Bismillahi Al-Rahman Al-Rahim

Assalamualaikum wrth wbrth.

Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, yang menjadkan langit serta beristiwa di atas Arasy-Nya, selawat dan salam kepada Rasulullah SAW dan sahabat2 baginda, dan para salafus soleh.

Sesungguhnya sebaik2 kitab adalah kitab Allah, dan sebaik2 petunjuk adalah petunjuk Rasulullah SAW dan seburuk2 perkara adalah perkara yang direka-reka di dalam perihal agama, dan sesungguhnya setiap yang direka di dalam agama itu adalah bid'ah, dan ketahuilah, setiap yang bid'ah itu adaah sesat dan setiap yang sesat itu adalah neraka tempatnya.

Telah menjadi tanggungjawab saya untuk menjawab tuduhan yang tidak berasas lagi tidak adil daripada saudara Zamihan al-Ghari atau mashur dengan gelaran al-Ghari di blog beliau http://al-ghari.blogspot.com/ . Beliau telah menulis 3 artikel yang sama sekali membuat dakwaan yang kami di MEDIU menggangap ianya fitnah yang sengaja untuk memberi persepsi buruk kepada salah satu institusi pendidikan antarabangsa di Malaysia ini. Saudara Zamihan ini telah menulis 3 artikel :

1) MEDIU : Rekrut Pelampau Wahhabi? Awas!

2) MEDIU , APa yang diajar, Aqidah Pelik?

3) MEDIU , Rekrut Pelampau Wahhabi, Satu realiti.

Individu yang bernama Zamihan ini telah mempunyai rekod dalam membawa isu Wahhabi dan mengaitkan individu – individu tertentu dengan fahaman yang disifatkan beliau sebagai fahaman Wahhabi. Antaranya, mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr ASri Zainul ABidin dan juga pensyarah UKM , Dr .Azwira. Kedua-dua tokoh ilmuan muda ini telah mengheret saudara Zamihan ini ke muka pengadilan dan kes itu masih berlanjutan sehingga kini.

Walau bagaimana pun tidak pasti sejauh mana dakwaan saudara Zamihan ini bahawa MEDIU sebagai sebuah Universiti yang mengajar ajaran songsang, pelik, sesat, malah beliau secara seriusnya menuduh MEDIU merupakan tempat untuk mengrekrut pelampai Wahhabi malah lebih dahsyat lagi MEDIU dikaitkan dengan Wahhabi dan pengganas. Semoga Allah memberi hidayah kepada manusia yang bernama Zamihan ini.

Timbul persoalan dari sayai, atas dasar apakah saudara Zamihan ini membuat tuduhan? Ini kerana, saya mempunyai beberapa point asas agar masyarakat menilai tulisan saudara zamihan yang hanya ingin mencari publisiti murahan kononnya ingin menyelamatkan Aqidah dan kepercayaan orang Islam terselamat dari dakyah sesat sebagaimana yg didakwa beliau. Sekiranya MEDIU ini telah bersubahat utk menyesatkan ummat di Malaysia dan mengrekrut pengganas, timbul soalan dari saya kepada saudara zamihan:

1) Setiap subjek mahupun kursus yang ditawarkan oleh MEDIU terutama sekali pengajian Islam telah diteliti dan disaring oleh para Sarjana yang dipertanggungjawabkan oleh MQA kepada mereka utk memberi kelulusan akan subjek dan kursus yg ditawarkan. Kami di MEDIU bersangka baik, mungkin Saudara Zamihan ini tidak tahu apa itu MQA, atau mungkin juga saudara Zamihan ini ingin menuduh MQA ( Malaysian Qualification Agency) sebagai agen Wahhabi kerana meluluskan kursus-kursus yang telah di dakwa beliau sebagai pelik malah mendakwa MEDIU sebagai tempat mengrekrut pelampau Wahhabi? Adakah di sini Zamihan cuba menidakkan peranan MQA dalam menyelia dan meluluskan subjek-subjek yang dibenarkan untuk diajar oleh MEDIU? Sebagaimana yang kita tahu bahawa MQA berperanan untuk menjaga kualiti pelajaran dan silibus apatah lagi memastikan silibus-silibus itu pelik dan songsang? Betapa hebatnya saudara Zamihan ini,saya kira pihak MQA harus melantik saudara Zamihan ini sebagai ketua panel agar aqidah dan kepercayaan masayrakat Malaysia khasnya akan terjamin dan terselamat dari ajaran pelik dan songsang seperti yang didakwa. Atau mungkin saudara Zamihan tidak mengenali badan yang bertanggungjawab memantau sukatan kursus-kursus di IPTS dan IPTA di seluruh Malaysia kerana sibuk membicara soal yang tiada sendiri tiada ilmu akannya?

2) Agak memeranjatkan dengan tuduhan Zamihan ini bahawa pelajaran Aqidah yang dibawa di MEDIU adalah pelik walhal 70% sukatan pelajaran telah digarap berdasarkan sukatan pelajaran Universiti Al-Azhar dan selebihnya adalah dari Saudi. Adakah Universiti Al-Azhar juga mengajar pelajar-pelajar kita dan seluruh dunia dengan pelajaran yg pelik dan sesat?Kalau itulah kata beliau, bermakna kerajaan Malaysia wajib membuat sekatan pelajar-pelajar kita untuk belajar di Al-Azhar dikhuatiri nanti balik akan berkongsi ajaran pelik dengan masyarakat.

3) Sebagaimana yg kita telah maklum, bahawa saudara Zamihan ini merupakan pegawai JAKIM yang mana sudah pasti beliau punya kapasiti dan autoriti untuk membawa isu nasional ini ke pihak atasan. Saya agak keliru, kenapa laman blog persendirian digunakan dan bukan mengudah lidah rasmi JAKIM mahupun autoriti yang diberikan oleh kerajaan kepada JAKIM dalam membanteras ajaran-ajaran pelik dan songsang di Malaysia ? Bukankah wujud Jabatan Aqidah yang mengkaji aliran-aliran sesat di Malaysia di JAKIM sendiri? Atau saudara Zamihan ini memang tidak mendapat tempat di JAKIM dan pandangan itu hanyalah pandangan 'pelik' beliau sendiri. Atau mungkin Zamihan ingin mendakawa bahawa JAKIM juga Wahhabi? Semoga beliau diberi hidayah.

4) Idea penubuhan MEDIU yang diasaskan di Madinah Al-Munawwarah telah direalisasikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian antarabangsa dalam masa yg sama menjadikan MEDIU sebahagian dari agenda Islam Hadhari pada ketika itu. Adakah Tun Abdullah juga dianggap oleh Zamihan dalang disebalik pusat mengrekrut wahhabi ini? Adakah Tun Abdullah juga tidak mengambil kira soal keselematan aqidah rakyat Malaysia ancaman pengganas sebagaimana yang didakwa oleh saudara Zamihan ini? Malah Tun Abdullah juga turut menafikan MEDIU sebagai pusat penyebaran Wahhabi dan menyokong penuh segala usaha MEDIU yang menggabungkan elemen Ugama dan applikasi teknologi dalam memartabatkan ilmu duniawi dan ukhrawi

5) Keratan akhbar berbahasa Inggeris yg ditulis oleh wartawan New Straits Times tiada mengaitkan sama sekali MEDIU ini dengan Wahhabi. Kami andaikan mungkin beliau tidak dapat memahami Bahasa Inggeris dengan baik lalu dengan sembrono mengaitkan MEDIU dengan Wahhabi. Nasihat saya, agar teruskan belajar dan meneliti kesemua benda yang ingin dipaparkan dan fahami ia betul-betul sebelum di bawa ke pihak umum.

6) Seandainya MEDIU ini membawa ajaran yang pelik, mengrekrut pengganas aliran fahaman Wahhabi, kenapa saudara Zamihan hanya berkokok di blog beliau sahaja? KEnapa tidak digunakan saluran Media tempatan atau terlebih dahulu membuat laporan polis akan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak MEDIU ? Adakah kerana saudara Zamihan ingin mecari publisiti atau sekadar ingin berlagak hero demi menyelamatkan orang Islam? Jikalau beliau rasa terpanggil utk menyelamatkan aqidah dan pegangan umat Islam di Malaysia, beliau patut melaporkan kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri tentang MEDIU ini agar ia tidak memberi mudarat kepada Negara kita. Mungkin kerana beliau takut dan tidak yakin ataupun beliau dapat merasakan bahawa masyarakat sudah terlalu cerdik untuk menilai tulisan-tulisan murahan utk mendapat publisiti murahan di dada akhbar dan media.

7) Jikalau benar apa yg didakwa oleh Zamihan akan kebatilan MEDIU sebagai institusi pendidikan yang memberi musibah pada rakyat Malaysia, kenapa tidak saudara zamihan menggunakan ruang yg beliau ada di JAKIM utk berdiskusi secara ilmiah dengan wakil MEDIU secara terbuka mahupun tertutup akan tetapi dihadiri oleh media agar kebenaran dapat dibuktikan dengan nilai akademik dan ilmiah dan bukan hanya cakap- cakap kosong kedai kopi. Beliau patut sedar, beliau sebagian dari JAKIM dan sepatutnya beliau patut berfikir sebelum menulis sesuatu isu.

Terlalu banyak yang saya ingin pertikaikan akan tulisan saudara Zamihan ini, tapi cukup dengan 7 persoalan yang saya bawakan agar masyarakat umum dapat menilai siapakah yang MELAMPAU dalam melabel kumpulan dan institusi melainkan saudara zamihan sendiri. Saya menasihati beliau agar adalah lebih baik beliau menumpukan tugas beliau di JAKIM dalam memajukan dan memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dari membuat kerja yang tidak berfaedah dan bermanfaat yang merugikan rakyat Malaysia sendiri. Saya akhiri dengan membawa sepotong ayat Quran untk peringatan saudara Zamihan: “ Dan jangalah kamu berbicara dan berkata sesuatu yang bukan dalam pengetahuan kamu, sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu semuannya nanti akan dipersoalan dan dipertanggungjawabkan” ( al-Isra’ : 36)

Al-Faqir ila Allah,

Ahmad Fauzan Yahaya

Rabu, 5 Januari 2011

Syiah! Sesat DULU KINI DAN SELAMANYA


“Dari ‘Auf bin Malik: Akan berpecah Yahudi kepada 71 firqah, satu firqah ke syurga dan 70 ke neraka. Akan berpecah Nasrani kepada 72 firqah, 71 firqah ke neraka dan satu ke syurga. Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya, pasti akan berpecah ummatku kepada 73 firqah hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Ditanyakan: Siapa mereka wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Al-Jamaah.”

SYIAH. Ajaran syiah jelas sesat, menurut kesepakatan para ulama kaum muslimin, baik yang dulu maupun yang sekarang. Kami tidak menuduh, melainkan menjelaskan kepada kaum muslimin akan sesat dan bahayanya ajaran syi'ah itu bagi kehidupan mereka (dunia dan akhirat).

Bukti-bukti yang menujukkan Syiah berbeza dar Islam :

Ka’bah Syiah tertulis nama Ali r.a di Najaf di Kufah, Iraq. Mereka menyembah Ali bukan Allah s.w.t. Bandar Najaf digelar al-Najaf al-Ashraf (Najaf yang Suci). Sekaligus merupakan kota saingan kepada Makkah dan Bait al-Maqdis (qiblat pertama islam) di Palestin dua kota yang menjadi qiblat kepada umat islam. Apakah tujuan hadis-hadis palsu Syiah yang menyatakan tanah Karbala di Kufah lebih Afdal dari tanah Makkah ? Mengapakah tanah Karbala’ menyertai solat mereka? Jika Abrahah pernah membuat satu Ka’bah di Yaman untuk menyaingi Baitullah al-Ka’bah di Makkah kita anggap sebagai orang yang sesat maka Syiah lebih jahat, sesat dan terkeluar dari Islam dengan sebab kejahatan mereka mencuri Hajar al-Aswad dibawa ke Najaf semasa daulah fatimiyyah berkuasa dahulu untuk ditambahkan kepada Qiblat mereka di Najaf. Apakah tujuan mereka tawaf dan mengerjakan haji di Kufah di samping bertaqiyyah dating ke Makkah pada musim haji? Kita tanyakan kepada Syiah apakah tujuan marja’-marja’ kamu di Najaf dibawah pimpinan Ayatullah Sayyid Ali al-Sistani melakukan kerja-kerja terkutuk ini?

Antara pegangan Syiah yang diragui dan di tolak oleh ulama-ulama sunnah di Malaysia dan di dunia;

Syiah Mengkafirkan Para Sahabat

Bukti ini dilihat dalam beberapa kitab besar mereka iaitu:

1. Abu Ja'far berkata:
"Semua manusia (kaum muslimin Ahli Sunnah wal-Jamaah) menjadi Ahli Jahiliyah (kafir/murtad setelah kewafatan Rasulullah) kecuali empat orang, Ali, Miqdad, Salman dan Abu Dzar".

2. Al-Kulaini[9] mensifatkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman telah terkeluar dari kalangan orang yang beriman (murtad/kafir) lantaran tidak melantik Ali sebagai khalifah setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam wafat.[10] Malah al-Kulaini mengkafirkan seluruh penduduk Mekkah dan Madinah. Menurut Kulaini:
"Penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah dan penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah dengan terang-terang".
Al-Kulaini juga menetapkan dalam kitabnya al-Kafi:
"Sesiapa yang tidak beriman kepada Imam Dua Belas maka dia adalah kafir walaupun dia keturunan Ali atau Fatimah".

3. Al-Majlisi seorang ulama besar Syiah menegaskan:
“Bahawa mereka (Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman) adalah pencuri yang khianat dan murtad, keluar dari agama, semoga Allah melaknat mereka dan semua orang yang mengikut mereka dalam kejahatan mereka, sama ada orang dahulu atau orang-orang kemudian".

Budak Ali bin Husin berkata:
"Saya pernah bertanya kepada Ali bin Husin tentang Abu Bakar dan 'Umar. Maka dia menjawab: Keduanya kafir dan sesiapa yang mencintainya juga kafir".

4. Abu Basir (ulama Syiah) menegaskan:
"Sesungguhnya penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah secara terang-terang dan penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah, lebih buruk tujuh puluh kali dari penduduk Mekkah".

Demikianlah kenyataan, fatwa, kepercayaan, pandangan dan tuduhan jahat para ulama Syiah terhadap Ahli Sunnah wal-Jamaah sama ada terhadap ulama atau orang awamnya.

Al-Quran Menurut Syiah

Merka berpendapat Al Quaran asli berada di tangan Ali. Dan buat masa sekarang ini al-Quran yang asli berada di tangan Imam Mahadi al-Muntazar.
Al-Kusyi pula berkata:

"Tidak sedikitpun isi kandungan di dalam al-Quran (yang digunakan oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah sekarang, Pent.) yang boleh kita jadikan pegangan".[16]
Menurut para ulama Syiah:

“Seseorang itu akan dianggap kafir dan masuk neraka kerana tidak mengikut Imam Dua Belas Syiah atau kafir terhadap Syiah”.

Syiah banyak merubah ayat-ayat al-Quran dan tafsirannya. Contohnya ayat:
"Mengapa kamu masuk neraka?"
(Menurut penafsiran ulama Syiah):

"Orang-orang kafir menjawab, Kami tidak solat".
Ulama Syiah merubah tafsirannya yang sebenarnya kepada maksud dan tafsiran:
"Kami (masuk neraka kerana) tidak mengikut Imam (Syiah)".[17]

Begitulah kekarutan, khurafat dan batilnya kepercayaan penganut syiah yang telah disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagai akidah yang sesat lagi menyesatkan.

MASIH MAHU KATAKAN "SYIAH TIDAK SESAT?" ASTAGHFIRULLAH! :'(

Selasa, 4 Januari 2011

Ikhlas Dariku Buat Kalian

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat di sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jua Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali Imran: 8)

Kepada sahabat-sahabat yang berjuang menegakkan kebenaran. Atas rasa kasih sayang kita terhadap isu yang sedang melanda ummah. Disaat semakin ramai mereka yang terpesong dari ajaran Muhammad yang sebenar tetapi mendakwa merekalah yang mengamalkan cara hidup Islam yang tulen. Ana doakan kejayaan antum dalam memperjuangkan agama Allah ini. Aqidah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw adalah jelas dan tidak perlu ada penambahan seperti yang dibuat oleh golongan Syiah. Tapi awas! Jangan dek kerana usaha kita yang bersungguh-sungguh ini menyebabkan kita pula semakin jauh hati kita dari ajaran sebenar ini. Kerana ada sahabat kita yang pada awalnya bersungguh-sungguh menentang Syiah namun oleh kerana terpengaruh dengan hasutan mereka yang licik, akhirnya dia pula yang mengikut jejak langkah golongan yang sesat. Jadi hati-hatilah. Sama-sama kita bersatu menentang mereka yang mengkafirkan para sahabat dan Ummul Mukminin Saidatina Aisyah. Ikhlaskan diri dalam perjuangan ini. Ganjaran Allah amatlah besar. Untuk golongan seperti Syiah ini kita hayati apa yang Allah ceritakan dalam al-Quran untuk mereka yang ingin mendustakan orang-orang yang beriman tetapi mereka mendustakan diri mereka sendiri :

"Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)". Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). " al-Baqarah: 10-15

Semoga Allah menyelamatkan kita dalam agama yang sebenar ini. Teruskan usaha kalian dalam menyelamatkan sahabat-sahabat kita dari terpengaruh dengan helah golongan Syiah yang licik. Ingatlah, bukan mudah berjuang dijalan Allah ini. Namun jika kita ikhlaskan niat. Allah akan balas dengan yang lebih baik. Yakin dengan janji Allah. Wallahualam... Allahuakbar!!

Selasa, 14 Disember 2010

Amalan Asyura

Amalan Asyura

Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.

Jawapan:

Selang beberapa hari lagi, kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.

1. Bilakah 'Asyura'?

Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram.Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.

2. Bila Sunnah Puasa?

Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.

3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?

Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.

* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.

4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?

Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.

5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?

Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.

6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?

Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).

7. Apakah kelebihannya?

Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*

* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.

8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?

Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.

9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?

Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.

10. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?

Ada. Sila klik sini.

Do'a dibaca pada hari 'Asyura'

11. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?

Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."

Wallahu A'lam

Sumber: ILuvIslam.com

Ahad, 5 Disember 2010

Syiah! Suatu Pembongkaran


Syiah Dan al-Quran

1. Orang yang mendakwa telah mengumpulkan al-Quran dengan lengkap adalah pembohong besar. Al Quran sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah hanya dikumpul dan disimpan oleh Ali bin Abi Talib dan imam-imam selepasnya. (Al Kualini, Al-Kafi, jilid 1, halaman 228)

2. Al-Kulaini meriwayatkan lagi di dalam Al-Kafi nya, bahwa Husain Musa a.s menulis surat kepada Ali bin Suwaid ketika beliau berada di dalam penjara, “Janganlah kamu mencari agama orang yang bukan dikalangan Syiahmu. Janganlah sesekali kamu suka kepada agama mereka kerana mereka adalah pengkhianat. Mereka telah mengkhianati Allah dan rasul-rasulNya dan telah mengkhianti amanah yang telah diberikan kepada mereka. Tahukah kamu apakah pengkhianatan yang telah dilakukan terhadap amanah yang diserahkan kepada mereka? Mereka telah diamanahkan supaya menjaga kitab Allah (al-Quran) tetapi mereka telah memesongkannya dan menukargantikan isinya.” (Ar-Raudhah Min al-Kafi, halaman 125)

3. Al-Kulaini menyebutkan lagi didalam Al-kafinya bahawa Hisyam bin Salim meriwayatkan dari Abi Abdillah (Ja’afar Sadiq) bahawa beliau berkata, “Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan oleh Jibril a.s. kepada Muhammad s.a.w. mengandungi sebanyaka 17 000 ayat.” Allamah Khalil al-Qazwini di dalam “As-Shafi Syarah Usul al-Kafi”, Bab Kelebihan al-Quran jilid 6 halaman 75, menghuraikan kata-kata Jaafar as Sadiq yang tersebut di atas begini, “Kata-kata beliau itu bermaksud sebahagain besar al-Quran yang asal (yang dibawakan oleh Jibril a.s.) telah digugurkan ataupun dihilangkan. Di dalam naskhah al-Quran yang wujud dan masyhur di kalangan orang ramai hari ini tidak terdapat ayat-ayat yang digugur dan dibuang itu.”

4. Kamaluddin Maitsam al-Bahrani menulis tentang pengumpulan al-Quran oleh Saidina Usman r.a bahawa, “Beliau telah menyatukan orang ramai di atas qiraat Zaid bin Thabit sahaja dan membakar semua mushaf-mushaf yang lain. Beliau telah membatalkan (membuangkan ) ayat-ayat yang tidak syak lagi merupakan sebahagian daripada a;-Quran.” (Maitsam Al-Bahrani, Syarah Nahjul Balaghah, jilid 2 halam 1)

5. Diriwayatkan dari Buraid al-Ijl dari Abi Abdillah (Jaafar Sadiq a.s) katanya : “Allah telah menurunkan nama 7 orang dengan jelas di dalam al-Quran tetapi orang-orang Quraisy telah menghapuskan nama daripada mereka dan meninggalkan nama Abu Lahab sahaja.” (Syeikh at-Taifah al-Imamiyyah Abu Jaafar at-Thusi, Ikhtiar Marifari Ar-Rijal jilid 3, halaman 290)

Mirza Husain Muhammad Taiy at-Tabarsi an-Nuri menulis didalam kitabnya “Fashlul Khitab”, “Dalil yang ke-12 ialah riwayat imam-imam ma’sum berhubung dengan tempat-tempat tertentu di dalam al-Quran yang menunjukkan telah berlaku pengubahan dan tukar ganti pada kalimah-kalimah, ayat-ayat dari surah al-Quran yang ada pada hari ini. Pengubahan dan tukar ganti seperti ini telah berlaku dengan banyak sekali sehingga Sayyid Nikmatullah al-Jazairi di dalam beberapa karangannya berkata, “Hadis-hadis daripada Imam-Imam Ahlul Bait yang menunjukkan adanya tukar ganti di dalam al-Quran melebihi 2 000.”

Syiah Dan Sahabat

Jika Syiah Rafidhah memaki hamun dan mengkafirkan para sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain dan berlepas diri dari mereka semua, maka Syiah Imamiyah Isna Asyariyah tidak berbeza daripada fahaman Syiah Rafidhah itu kerana kitab-kitab mereka yang mu’tabar penuh dengan caci maki dan riwayat-riwayat yang mengkafirkan para sahabat termasuk sahabat besar Rasulullah s.a.w. Saya akan mengemukakan beberapa contoh dari kitab-kitab mereka sendiri.

Namun perlulah diketahui bahawa terdapat perselisihan pendapat ulama hanya berlaku berhubung dengan kafir atau tidaknya orang yang mencaci dan memburuk-burukan para sahabat tetapi mereka tidak berselisih pendapat tentang kafirnya orang yang mengkafirkan para sahabat agung Rasulullah s.a.w. seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan lain-lain. Tetapi Syiah di dalam kitab-kitab mereka jelas telah mengkafirkan para sahabat termasuk para sahabat agung Rasulullah s.a.w. yang tersebut tadi. Menafikan perkara ini sama seperti menafikan siang pada waktu matahari berada di tengah langit atau perkara ini hanya dinafikan oleh orang-orang yang buta matanya. Disini saya akan kemukakan contoh daripada kitab Syiah Imamiyah Isna Asyariyah sendiri bahawa mereka mengatakan sahabat Rasulullah s.a.w. telah murtad sepeninggalan baginda. Pendapat mereka ini tidak berbeza dari dahulu sampai sekarang.

1. At-Thusi meriwayatkan di dalam Rijal Al-Kasyi bahawa Abu Jafar (Muhammad al-Baqir) berkata bahawa para sahabat telah murtad setelah kewafatan Rasulullah kecuali Miqdad bin Aswad, Abu Dzar al-Ghifari dan Salman al-Farisi. (Rijal Al-Kasyu jilid 1 halaman 6)

2. At-Thusi meriwayatkan lagi dari Humran katanya: “Aku berkata kepada Abu Jafar: “Alangkah sedikitnya bilangan orang-orang kita sehingga jika kita berkumpul untuk merebahkan seekor biri-biri pun tidak akan dapat.” Humran berkata: “Maka Abu Jafar berkata: “Mahukah aku ceritakan perkara yang lebih aneh dari itu?” Humran berkata: “Ya”. Maka Abu Jafar berkata: “Orang-orang Muhajirin dan Ansar telah pergi (murtad) kecuali tiga (dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya).” (Ibid)

3. Diriwayatkan dari Abi Jafar a.s: “Anak-anak Yaqub bukan nabi tetapi mereka adalah asbath kepada anak-anak Nabi. Mereka tidak meninggalkan dunia melainkan dalam keadaan bahagia. Mereka telah bertaubat dan menyesal di atas apa yang mereka lakukan tetapi Abu Bakar dan Umar telah meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak menyesali apa yang telah dilakukannya terhadap Amirul Mukminin Ali a.s. Mereka berdua dilaknat oleh Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya.” (Al-Kulaini, Ar-Raudhah Min Al-Kafi, jilid 8, halaman 246)

4. Diriwayatkan daripada Abi Jafar a.s. Kata beliau: “Para sahabat telah murtad sepeninggalan Nabi s.a.w kecuali tiga daripada mereka.” Perawi bertanya:”Siapakah yang tiga itu?” Abi Jafar menjawab: Miqdad bin Aswas, Abu Dzar al-Ghifar dan Salman al-Farisi.” (Ibid, halaman 245)

5. Ayatullah al Uzma Sayyid Murtadha al-Husaini al-Fairuzabandi di dalam kitabnya As-Sab’ah Min As Salaf telah mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Usman, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Muawiyah, Abu Said al-Khudri, Bara bin Azib dan lain-lain. (Lihat halaman 29. 32, 71, 78, 81, 85, 107, 120 dan 211)

6. Ayatullah al-Uzma Khomeini di dalam kitabnya Kasyfu al-Asrar telah mengkafirkan Saidina Umar. (Lihat halaman 147 dan 176, edisi Arab dan halaman 119 dan 153 edisi Farsi). Beliau menganggap Abu Bakar dan Umar jahil tentang hokum Allah dan mereka menjadikannya sebagai bahan permainan kanak-kanak. (Halaman 110-111, edisi Farsi). Beliau juga menuduh Abu Bakar dan Umar mereka-mereka hadis atas nama Rasulullah s.a.w. (Halaman 131 dan 138 edisi Arab 114 dan 120 edisi Farsi)

Sumber: Syiah Rafidhah, Di Antara Kecuaian Ulama dan Kebingungan Ummah karya Maulana Muhammad Asri Yusofff

Rabu, 1 Disember 2010

Merokok Adalah Haram!!

Hukum Merokok


Islam melarang pengambilan sesuatu yang keji yang dapat mendatangkan kemudaratan dan rokok termasuk di dalam kategori itu.


1). Rokok adalah Khabaith


Allah berfirman dalam surah al-A'raf, ayat 157:


"Dan dia (Rasul) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk (khabaith)."


Ayat ini menunjukkan sesuatu yang keji tidak dibenarkan oleh Islam. Imam Syafie rhm mentafsirkan 'buruk' sebagai sesuatu yang tidak dibenarkan berdasarkan hujah syariat termasuk sesuatu yang kotor dan keji..' Rokok dengan 4000 bahan kimia beracunnya termasuk dalam kategori kotor dan keji ini.


2) Rokok Melemahkan dan Memudaratkan diri


Merokok dapat melemahkan umat Islam dan membawa mereka kepada maut. Umat yang lemah tidak mampu memperjuangkan maruah agama. Allah berfirman dalam surah an Nisak ayat 29:


"Janganlah kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu."


Di dalam sebuah hadis, menurut Ahmad dan Abu Daud, Ummu Salamah berkata:


"Rasulullah SAW melarang mengambil setiap bahan yang memabukkan dan yang melemahkan badan."


Surgeon General Amerika pernah mengeluarkan sebuah laporan berhubung dengan bahaya merokok pada tahun 1964. Di dalamnya dimuatkan rumusan berkenaan bahaya rokok berdasarkan lebih kurang 7000 kajian yang dilakukan sebelum itu. Di antara perkara yang dijelaskan ialah, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh rokok seperti sakit jantung dan barah paru-paru menjadi punca kepada 400 000 kematian di kalangan golongan dewasa di Amerika setiap tahun. Jelas sekali rokok memudaratkan.


3) Rokok Memudaratkan Orang Lain


Islam melarang sebarang perbuatan yang dapat memudaratkan orang lain. Menurut Tarmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda:


"Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin ataupun

menipunya."


Arizona Daily Star bertarikh 23 November 2001 melaporkan, asap rokok mengandungi sebatian radikal bebas atau free radicals yang boleh menyebabkan kerosakan ke atas sel-sel di dalam badan. Keadaan ini memulakan proses radang yang dapat menyebabkan pembuluh darah tersumbat, sakit jantng menyerang dan sel-sel kanser merebak. Hasilnya adalah, mereka yang terdedah kepada asap rokok menanggung risiko menghidap sakit jantung 23 peratus lebih tinggi daripada mereka yang tidak terdedah kepadanya mengikut kajian Persatuan Jantung Amerika.


4) Merokok Membawa Kepada Pembaziran

Pembaziran ditegah oleh agama. Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 27:


"Janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya mereka yang membazir adalah saudara-saudara syaitan."


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). rakyat Malaysia menghisap sebanyak 14.5 bilion batang rokok pada tahun 1985 berbanding dengan hanya 9 bilion di dalam tahun 1973. Perbelanjaan yang dikeluarkan berjumlah lebih kurang RM 1.5 bilion.


5) Merokok Menguntungkan Musuh


Merokok melemahkan badan sekali gus melemahkan orang Islam daripada usaha-usaha dakwah dan jihad di jalan Allah. Di samping itu, pembelian wang itu untuk menindas orang Islam. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:


"Dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan."


6) Rokok Mengandungi Dadah Berbahaya


Segala yang memabukkan termasuk dadah berbahaya tidak dibenarkan oleh agama. Di dalam sebuah hadis, menurut Ahmad dan Abu Daud yang dilaporkan oleh Ummu Salamah, beliau berkata:


"Rasulullah SAW melarang daripada mengambil setiap bahan yang memabukkan dan yang melemahakn badan."


BBC News bertarikh 8 Februari 200 melaporkan bahawa pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physysicians UK (RCP) meminta supaya pengawasan dan tindakan yang lebih tegas diambil bagi mengawal ketagihan merokok. Mereka mengatakan nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain. Apabila seseorang menghisap rokok, dadah nikotin menyerap masuk ke dalam darahnya dan mempengaruhi otak dalam masa hanya 7 saat dan apabila amalan ini berterusan, ketagihan menguasai dirinya.


Oleh itu, merokok hukumnya HARAM. Di antara Ulama yang mengharamkannya adalah:


Syeih Ahmad as-Sanhuri al-bahuti dan Syeikh Ibrahim al-Liqani dari Mesir, Syeikh Abdul Ghaith al-Maliki dari Moroko, Syeikh Najmuddin bin Badruddin dari Syria, Syeikh Ibrahim bin Jam'an dari Yaman, Syeikh Abdul Malik al-Isyami dan Muhammad bin Alamah dari Mekah dan Madinah serta ramai lagi


Dr Yusuf Qardawi di dalam Fatawa Muasirat berkata, "Daripada penjelasan yang diberikan, saya berpendapat pandangan yang menghalalkan merokok tidak dapat diterima sama sekali malah pendapat sebegitu boleh dianggap salah. Justeru, kita hanya mempunyai dua pilihan hukum, makruh ataupun haram. Berdasarkan kajian terkini, penetapan hukum HARAM adalah lebih tepat di sudut alasan dan hujahnya."


*KHAS KEPADA PEROKOK : Janganlah anda cuba mencari 1001 alasan untuk menghalakan tindakan anda merokok, bertaqwalah kepada Allah. Tunduklah pada firman Allah dan sabda Rasulullah SAW. Peliharalah diri anda dan orang lain.


Sumber : Quran Saintifik - Dr Danial

:muawiyah90.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...