Rabu, 4 Ogos 2010

Ramadhan Datang Lagi~

Marhaban ya Ramadhan! Marhaban ya Ramadhan! Marhaban ya Ramadhan! Itulah lafaz gembira menyambut kedatangan ramadhan. Alhamdulillah.. Ramadhan yang dinanti yang terkandung didalamnya keampunan Ilahi bagi menggamit kebahagiaan dan kegembiraan hakiki. Namun adakah kita menyedari terdapat lima objektif utama yang perlu dicapai ketika kita menempuh madrasah pendidikan Ramadhan? Ia terkandung di dalam Surah Al-Baqarah bermula ayat 183 sehingga 189. Mari kita sama-sama menginsafi dan menghayati akan tujuan puasa yang difardhukan ke atas kita.

Firman Allah:

183. Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,


Ayat yang cukup masyhur tatkala kita membincangkan mengenai kefardhuan puasa. Objektif yang terbesar berpuasa adalah taqwa. Puasa mampu melahirkan muttaqin. Kebanyakan kita maklum bahawa taqwa merupakan kualiti yang lebih tinggi daripada iman. Taqwa bukan sekadar meyakini tetapi kita menjaga kualiti ibadah kita lantaran rasa takut yang bercampur dengan gusar dan risau kerana khuatir ibadah yang dilakukan masih belum cukup memenuhi piawaian dan kualiti Ilahi.

Justeru itu Saidina Ali karamallahu wajhah mendifinisikan taqwa sebagai:


“Takut kepada Allah semata-mata, beramal dan beristiqamah dengan segala perintah-Nya; reda dan berasa cukup dengan keadaan yang sedikit serta bersiap sedia pada setiap masa untuk menghadapi hari kematian.”

Ringkasnya dari definisi Saidina Ali adalah hidup berwalikan Allah dan mati bersandarkan janji Allah. Maka itu garis awal puasa yang mengkehendaki kita hidup dengan kualiti ibadah yang tinggi dan memfokuskan kehidupan kepada janji abadi Allah diakhirat kelak.

Objektif yang kedua dalam menunaikan ibadah puasa adalah rasa syukur kepada Allah. Firman Allah selanjutnya:


185. (beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

Dalam ayat ini jelas kepada kita tentang sifat syariat Allah. Iaitu syariat yang membezakan kebathilan dan kebenaran dan syariat yang mempunyai toleransi, keringanan atau rukhsah. Inilah yang ditekankan oleh Allah dalam menyerlahkan kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya. Suruhan bukan suruhan semata-mata tanpa kasihan belas tetapi suruhan yang mempunyai syarat wajib dalam melakukan ibadah.

Selain dari itu nikmat yang tertinggi yang kita perlu syukuri adalah Al-Quran itu sendiri. Al-Quran merupakan kitab Mukjizat zaman berzaman. Kitab yang menyelongkar segala rahsia kehidupan dan peraturan alam. Kitab yang membolehkan kita bersaksi bahawa Allah adalah segala-galanya dalam kehidupan ini. Maka tidak hairanlah jika para sahabat menerima segala syariat tanpa bantahan dan berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk mendalami dan memahami bagi mengamalkan segala kandungan Al-Quran. Sikap sebegini lahir lantaran rasa nikmat yang tidak terhingga dalam melakukan ibadah.

Kalimah syukur membawa erti kurniaan Allah diterima dan dizahirkan dengan lidah, redha kurniaan Ilahi dilubuk hati dan menggunakannya pada jalan yang diperintahkan. Syukur merupakan satu perkara yang amat tidak digemari oleh syaitan pada pernyataannya:

16. Iblis menjawab: "Karena Engkau Telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,

17. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).


Syaitan amat anti orang yang bersyukur. Orang yang bersyukur mampu menghalang misi syaitan menyesatkan manusia. Maka amaran dari Allah pula:

7. Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Layaklah amaran sebegitu bagi menjelaskan pertentangan antara syukur dan kufur.

Objektif yang ketiga adalah mendapat taufik hidayah Allah:


186. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Dalam ayat ini Allah menekankan 4 perkara iaitu tawakkal, doa, ketaatan dan keimanan dalam menggamit bimbingan Allah ke arah kebenaran. Tawakkal hanya berlaku setelah segala usaha dilaksanakan berdasarkan kemampuan kita, manakala doa hendaklah sentiasa dipohon menggambarkan keinginan dan kesungguhan kita. Selain dari itu doa juga merupakan satu hubungan yang istimewa antara manusia dengan Allah yang bertitik tolak dari keyakinan atau keimanan kepada Allah. Doa juga membina ketaatan. Amat janggal jika seseorang hamba itu berdoa dalam keadaan sombong atau ketika sedang melakukan maksiat.

Mengenai hidayah pula, jika kita merujuk kepada ulasan Said Hawwa dalam kitabnya Asasul tafasir dalam menghuraikan makna kalimah misykat pada ayat 135 Surah Al-Nur:


35. Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus[1039], yang di dalamnya ada Pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya)[1040], yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Said Hawwa mengumpamakan misykat sebagai tubuh manusia yang terdapat dalamnya cahaya. Cahaya itu adalah hati tempat jatuhnya hidayah. Bagi menerima cahaya hidayah maka terlebih dahulu cahaya hati itu mestilah tidak padam. Allah Maha Adil dalam memberikan hidayah-Nya kepada mereka yang berusaha dan berjihad dengan penuh kesungguhan.

Setelah itu Allah menggariskan sekali lagi tentang taqwa dan ibadah puasa iaitu menerusi ayat 187:


187. Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah Pakaian bagimu, dan kamupun adalah Pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, Karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma'af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang Telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf[115] dalam mesjid. Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.

Dari ayat ini pula Allah menegaskan tentang larangan mencampuri isteri ketika sedang berpuasa. Begitu juga dengan tatarcara menentukan waktu bermulanya fajar. Apakah bezanya taqwa yang disebut menerusi ayat 183 dengan taqwa yang disebut dalam ayat 187? Pada ayat 187 taqwa diperlukan dalam menjauhi larangan-Nya. Taqwa bukan sahaja pada suruhan tetapi juga mentaati larangan.

Pada ayat yang ke 189 pula Allah menyatakan:


189. Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji; dan bukanlah kebajikan memasuki rumah-rumah dari belakangnya[116], akan tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. dan masuklah ke rumah-rumah itu dari pintu-pintunya; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.

Rentetan dari sifat taqwa, maka kejayaan dan kebahagiaan akan menyusul. Inilah objektif kelima iaitu mendapat kejayaan. Kita bakal beroleh kejayaan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat sekiranya kita mengamalkan ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh. Bagi mengecapi kejayaan maka seseorang itu mestilah meningkatkan kesabaran. Bulan Ramadhan juga di sebut bulan kesabaran (syahru Al-sabr).

Imam Ghazali membahagikan sifat sabar ini kepada dua iaitu sabar zahir yang melibatkan penyakit dan penderitaan fizikal, manakala sabar batin pula ialah ketahanan nafsu, perasaan dan mental. Jelas Imam Al-Ghazali lagi:

“Sabar adalah ciri khusus manusia, dan tidak tergambar sabar itu pada haiwan, tidak juga pada malaikat. Adapun pada haiwan itu kerana kekurangannya, manakala pada malaikat pula lantaran kesempurnaannya.”

Abu Talib al-Makki (Kitab Qut al-qulub): “Ketahuilah bahawa sabar itu adalah sebab masuknya seseorang ke dalam syurga, dan menjadi (sebab) terlepasnya seseorang dari neraka” Katanya lagi: “Ketahuilah kebanyakan maksiat hamba itu berlaku pada dua perkara: Sedikit sabar terhadap apa yang digemari (sukai) dan sedikit sabar di atas perkara yang dibenci”.

Demikianlah jika kita memperhalusi objektif ibadah puasa yang kita tempuhi saban tahun. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai ramadahan yang terbaik kerana belum tentu kita dapat bersua kembali dengan Ramadhan yang akan datang. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik buat kita~ (^_^)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...