Selasa, 14 Disember 2010

Amalan Asyura

Amalan Asyura

Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.

Jawapan:

Selang beberapa hari lagi, kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.

1. Bilakah 'Asyura'?

Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram.Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.

2. Bila Sunnah Puasa?

Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.

3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?

Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.

* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.

4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?

Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.

5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?

Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.

6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?

Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).

7. Apakah kelebihannya?

Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*

* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.

8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?

Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.

9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?

Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.

10. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?

Ada. Sila klik sini.

Do'a dibaca pada hari 'Asyura'

11. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?

Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."

Wallahu A'lam

Sumber: ILuvIslam.com

Ahad, 5 Disember 2010

Syiah! Suatu Pembongkaran


Syiah Dan al-Quran

1. Orang yang mendakwa telah mengumpulkan al-Quran dengan lengkap adalah pembohong besar. Al Quran sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah hanya dikumpul dan disimpan oleh Ali bin Abi Talib dan imam-imam selepasnya. (Al Kualini, Al-Kafi, jilid 1, halaman 228)

2. Al-Kulaini meriwayatkan lagi di dalam Al-Kafi nya, bahwa Husain Musa a.s menulis surat kepada Ali bin Suwaid ketika beliau berada di dalam penjara, “Janganlah kamu mencari agama orang yang bukan dikalangan Syiahmu. Janganlah sesekali kamu suka kepada agama mereka kerana mereka adalah pengkhianat. Mereka telah mengkhianati Allah dan rasul-rasulNya dan telah mengkhianti amanah yang telah diberikan kepada mereka. Tahukah kamu apakah pengkhianatan yang telah dilakukan terhadap amanah yang diserahkan kepada mereka? Mereka telah diamanahkan supaya menjaga kitab Allah (al-Quran) tetapi mereka telah memesongkannya dan menukargantikan isinya.” (Ar-Raudhah Min al-Kafi, halaman 125)

3. Al-Kulaini menyebutkan lagi didalam Al-kafinya bahawa Hisyam bin Salim meriwayatkan dari Abi Abdillah (Ja’afar Sadiq) bahawa beliau berkata, “Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan oleh Jibril a.s. kepada Muhammad s.a.w. mengandungi sebanyaka 17 000 ayat.” Allamah Khalil al-Qazwini di dalam “As-Shafi Syarah Usul al-Kafi”, Bab Kelebihan al-Quran jilid 6 halaman 75, menghuraikan kata-kata Jaafar as Sadiq yang tersebut di atas begini, “Kata-kata beliau itu bermaksud sebahagain besar al-Quran yang asal (yang dibawakan oleh Jibril a.s.) telah digugurkan ataupun dihilangkan. Di dalam naskhah al-Quran yang wujud dan masyhur di kalangan orang ramai hari ini tidak terdapat ayat-ayat yang digugur dan dibuang itu.”

4. Kamaluddin Maitsam al-Bahrani menulis tentang pengumpulan al-Quran oleh Saidina Usman r.a bahawa, “Beliau telah menyatukan orang ramai di atas qiraat Zaid bin Thabit sahaja dan membakar semua mushaf-mushaf yang lain. Beliau telah membatalkan (membuangkan ) ayat-ayat yang tidak syak lagi merupakan sebahagian daripada a;-Quran.” (Maitsam Al-Bahrani, Syarah Nahjul Balaghah, jilid 2 halam 1)

5. Diriwayatkan dari Buraid al-Ijl dari Abi Abdillah (Jaafar Sadiq a.s) katanya : “Allah telah menurunkan nama 7 orang dengan jelas di dalam al-Quran tetapi orang-orang Quraisy telah menghapuskan nama daripada mereka dan meninggalkan nama Abu Lahab sahaja.” (Syeikh at-Taifah al-Imamiyyah Abu Jaafar at-Thusi, Ikhtiar Marifari Ar-Rijal jilid 3, halaman 290)

Mirza Husain Muhammad Taiy at-Tabarsi an-Nuri menulis didalam kitabnya “Fashlul Khitab”, “Dalil yang ke-12 ialah riwayat imam-imam ma’sum berhubung dengan tempat-tempat tertentu di dalam al-Quran yang menunjukkan telah berlaku pengubahan dan tukar ganti pada kalimah-kalimah, ayat-ayat dari surah al-Quran yang ada pada hari ini. Pengubahan dan tukar ganti seperti ini telah berlaku dengan banyak sekali sehingga Sayyid Nikmatullah al-Jazairi di dalam beberapa karangannya berkata, “Hadis-hadis daripada Imam-Imam Ahlul Bait yang menunjukkan adanya tukar ganti di dalam al-Quran melebihi 2 000.”

Syiah Dan Sahabat

Jika Syiah Rafidhah memaki hamun dan mengkafirkan para sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain dan berlepas diri dari mereka semua, maka Syiah Imamiyah Isna Asyariyah tidak berbeza daripada fahaman Syiah Rafidhah itu kerana kitab-kitab mereka yang mu’tabar penuh dengan caci maki dan riwayat-riwayat yang mengkafirkan para sahabat termasuk sahabat besar Rasulullah s.a.w. Saya akan mengemukakan beberapa contoh dari kitab-kitab mereka sendiri.

Namun perlulah diketahui bahawa terdapat perselisihan pendapat ulama hanya berlaku berhubung dengan kafir atau tidaknya orang yang mencaci dan memburuk-burukan para sahabat tetapi mereka tidak berselisih pendapat tentang kafirnya orang yang mengkafirkan para sahabat agung Rasulullah s.a.w. seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan lain-lain. Tetapi Syiah di dalam kitab-kitab mereka jelas telah mengkafirkan para sahabat termasuk para sahabat agung Rasulullah s.a.w. yang tersebut tadi. Menafikan perkara ini sama seperti menafikan siang pada waktu matahari berada di tengah langit atau perkara ini hanya dinafikan oleh orang-orang yang buta matanya. Disini saya akan kemukakan contoh daripada kitab Syiah Imamiyah Isna Asyariyah sendiri bahawa mereka mengatakan sahabat Rasulullah s.a.w. telah murtad sepeninggalan baginda. Pendapat mereka ini tidak berbeza dari dahulu sampai sekarang.

1. At-Thusi meriwayatkan di dalam Rijal Al-Kasyi bahawa Abu Jafar (Muhammad al-Baqir) berkata bahawa para sahabat telah murtad setelah kewafatan Rasulullah kecuali Miqdad bin Aswad, Abu Dzar al-Ghifari dan Salman al-Farisi. (Rijal Al-Kasyu jilid 1 halaman 6)

2. At-Thusi meriwayatkan lagi dari Humran katanya: “Aku berkata kepada Abu Jafar: “Alangkah sedikitnya bilangan orang-orang kita sehingga jika kita berkumpul untuk merebahkan seekor biri-biri pun tidak akan dapat.” Humran berkata: “Maka Abu Jafar berkata: “Mahukah aku ceritakan perkara yang lebih aneh dari itu?” Humran berkata: “Ya”. Maka Abu Jafar berkata: “Orang-orang Muhajirin dan Ansar telah pergi (murtad) kecuali tiga (dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya).” (Ibid)

3. Diriwayatkan dari Abi Jafar a.s: “Anak-anak Yaqub bukan nabi tetapi mereka adalah asbath kepada anak-anak Nabi. Mereka tidak meninggalkan dunia melainkan dalam keadaan bahagia. Mereka telah bertaubat dan menyesal di atas apa yang mereka lakukan tetapi Abu Bakar dan Umar telah meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak menyesali apa yang telah dilakukannya terhadap Amirul Mukminin Ali a.s. Mereka berdua dilaknat oleh Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya.” (Al-Kulaini, Ar-Raudhah Min Al-Kafi, jilid 8, halaman 246)

4. Diriwayatkan daripada Abi Jafar a.s. Kata beliau: “Para sahabat telah murtad sepeninggalan Nabi s.a.w kecuali tiga daripada mereka.” Perawi bertanya:”Siapakah yang tiga itu?” Abi Jafar menjawab: Miqdad bin Aswas, Abu Dzar al-Ghifar dan Salman al-Farisi.” (Ibid, halaman 245)

5. Ayatullah al Uzma Sayyid Murtadha al-Husaini al-Fairuzabandi di dalam kitabnya As-Sab’ah Min As Salaf telah mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Usman, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Muawiyah, Abu Said al-Khudri, Bara bin Azib dan lain-lain. (Lihat halaman 29. 32, 71, 78, 81, 85, 107, 120 dan 211)

6. Ayatullah al-Uzma Khomeini di dalam kitabnya Kasyfu al-Asrar telah mengkafirkan Saidina Umar. (Lihat halaman 147 dan 176, edisi Arab dan halaman 119 dan 153 edisi Farsi). Beliau menganggap Abu Bakar dan Umar jahil tentang hokum Allah dan mereka menjadikannya sebagai bahan permainan kanak-kanak. (Halaman 110-111, edisi Farsi). Beliau juga menuduh Abu Bakar dan Umar mereka-mereka hadis atas nama Rasulullah s.a.w. (Halaman 131 dan 138 edisi Arab 114 dan 120 edisi Farsi)

Sumber: Syiah Rafidhah, Di Antara Kecuaian Ulama dan Kebingungan Ummah karya Maulana Muhammad Asri Yusofff

Rabu, 1 Disember 2010

Merokok Adalah Haram!!

Hukum Merokok


Islam melarang pengambilan sesuatu yang keji yang dapat mendatangkan kemudaratan dan rokok termasuk di dalam kategori itu.


1). Rokok adalah Khabaith


Allah berfirman dalam surah al-A'raf, ayat 157:


"Dan dia (Rasul) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk (khabaith)."


Ayat ini menunjukkan sesuatu yang keji tidak dibenarkan oleh Islam. Imam Syafie rhm mentafsirkan 'buruk' sebagai sesuatu yang tidak dibenarkan berdasarkan hujah syariat termasuk sesuatu yang kotor dan keji..' Rokok dengan 4000 bahan kimia beracunnya termasuk dalam kategori kotor dan keji ini.


2) Rokok Melemahkan dan Memudaratkan diri


Merokok dapat melemahkan umat Islam dan membawa mereka kepada maut. Umat yang lemah tidak mampu memperjuangkan maruah agama. Allah berfirman dalam surah an Nisak ayat 29:


"Janganlah kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu."


Di dalam sebuah hadis, menurut Ahmad dan Abu Daud, Ummu Salamah berkata:


"Rasulullah SAW melarang mengambil setiap bahan yang memabukkan dan yang melemahkan badan."


Surgeon General Amerika pernah mengeluarkan sebuah laporan berhubung dengan bahaya merokok pada tahun 1964. Di dalamnya dimuatkan rumusan berkenaan bahaya rokok berdasarkan lebih kurang 7000 kajian yang dilakukan sebelum itu. Di antara perkara yang dijelaskan ialah, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh rokok seperti sakit jantung dan barah paru-paru menjadi punca kepada 400 000 kematian di kalangan golongan dewasa di Amerika setiap tahun. Jelas sekali rokok memudaratkan.


3) Rokok Memudaratkan Orang Lain


Islam melarang sebarang perbuatan yang dapat memudaratkan orang lain. Menurut Tarmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda:


"Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin ataupun

menipunya."


Arizona Daily Star bertarikh 23 November 2001 melaporkan, asap rokok mengandungi sebatian radikal bebas atau free radicals yang boleh menyebabkan kerosakan ke atas sel-sel di dalam badan. Keadaan ini memulakan proses radang yang dapat menyebabkan pembuluh darah tersumbat, sakit jantng menyerang dan sel-sel kanser merebak. Hasilnya adalah, mereka yang terdedah kepada asap rokok menanggung risiko menghidap sakit jantung 23 peratus lebih tinggi daripada mereka yang tidak terdedah kepadanya mengikut kajian Persatuan Jantung Amerika.


4) Merokok Membawa Kepada Pembaziran

Pembaziran ditegah oleh agama. Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 27:


"Janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya mereka yang membazir adalah saudara-saudara syaitan."


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). rakyat Malaysia menghisap sebanyak 14.5 bilion batang rokok pada tahun 1985 berbanding dengan hanya 9 bilion di dalam tahun 1973. Perbelanjaan yang dikeluarkan berjumlah lebih kurang RM 1.5 bilion.


5) Merokok Menguntungkan Musuh


Merokok melemahkan badan sekali gus melemahkan orang Islam daripada usaha-usaha dakwah dan jihad di jalan Allah. Di samping itu, pembelian wang itu untuk menindas orang Islam. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:


"Dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan."


6) Rokok Mengandungi Dadah Berbahaya


Segala yang memabukkan termasuk dadah berbahaya tidak dibenarkan oleh agama. Di dalam sebuah hadis, menurut Ahmad dan Abu Daud yang dilaporkan oleh Ummu Salamah, beliau berkata:


"Rasulullah SAW melarang daripada mengambil setiap bahan yang memabukkan dan yang melemahakn badan."


BBC News bertarikh 8 Februari 200 melaporkan bahawa pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physysicians UK (RCP) meminta supaya pengawasan dan tindakan yang lebih tegas diambil bagi mengawal ketagihan merokok. Mereka mengatakan nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain. Apabila seseorang menghisap rokok, dadah nikotin menyerap masuk ke dalam darahnya dan mempengaruhi otak dalam masa hanya 7 saat dan apabila amalan ini berterusan, ketagihan menguasai dirinya.


Oleh itu, merokok hukumnya HARAM. Di antara Ulama yang mengharamkannya adalah:


Syeih Ahmad as-Sanhuri al-bahuti dan Syeikh Ibrahim al-Liqani dari Mesir, Syeikh Abdul Ghaith al-Maliki dari Moroko, Syeikh Najmuddin bin Badruddin dari Syria, Syeikh Ibrahim bin Jam'an dari Yaman, Syeikh Abdul Malik al-Isyami dan Muhammad bin Alamah dari Mekah dan Madinah serta ramai lagi


Dr Yusuf Qardawi di dalam Fatawa Muasirat berkata, "Daripada penjelasan yang diberikan, saya berpendapat pandangan yang menghalalkan merokok tidak dapat diterima sama sekali malah pendapat sebegitu boleh dianggap salah. Justeru, kita hanya mempunyai dua pilihan hukum, makruh ataupun haram. Berdasarkan kajian terkini, penetapan hukum HARAM adalah lebih tepat di sudut alasan dan hujahnya."


*KHAS KEPADA PEROKOK : Janganlah anda cuba mencari 1001 alasan untuk menghalakan tindakan anda merokok, bertaqwalah kepada Allah. Tunduklah pada firman Allah dan sabda Rasulullah SAW. Peliharalah diri anda dan orang lain.


Sumber : Quran Saintifik - Dr Danial

:muawiyah90.blogspot.com

Selasa, 23 November 2010

Kenali Ahli Sunnah wal Jamaah


Kenali Ahli Sunnah wal Jamaah


Mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama di kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi'in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka. Generasi pertama dikalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali-Imran ayat 7,

"Dia yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu, antara isinya ada ayat-ayat muhkam (yang terang maksudnya) itulah pokok-pokok isi al-Quran, dan yang lain ayat-ayat mutashabihat (yang mengandungi beberapa pengertian yang samar dan tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya condong kepada kesesatan, mereka selalu menurut apa yang mutashabihat kerana mempunyai tujuan menimbulkan fitnah, dan mencari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwil melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalami ilmunya berkata : "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutashabihat, semuanya itu daripada Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pengajaran daripadanya melainkan orang-orang yang berakal." (Ali Imran :7)

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tetang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran , sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi'in.

Mereka itu terdiru daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat mendalami ilmu agama dalam dalam berbagai-bagai bidang, seperti aqidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada pula yang mendalami ilmu qiraat.Ada yang sibuk dengan perkara yang membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangi musuh-musuhnya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai pemimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraisy kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah mesti melafazkan bai'ah iaitu lafaz ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulNya. Lafaz ikrar ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara ,mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 10,

"Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, "Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasat dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan Maha Penyayang." (al-Hasyr:10)

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahama tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya , para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga yang berlaku pada zaman para tabi'in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutashabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-leret.

Kesemua imam mazhab terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hanbal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Sumber: Fahaman dan Ideolgi Umat Islam karya Datuk Seri Hj Hadi Awang

Jumaat, 12 November 2010

Syiah - Fatwa Ulama Mengenai Mereka!

Syiah - Fatwa Ulama Mengenai Mereka!


Allahuakbar!. Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah. Umat Islam, khususnya di Malaysia patut membuka mata mereka seluas-luasnya dalam memahami ajaran Syiah. Di sini, saya memuatkan fatwa yang hebat dari Ulama' India yang dinukil dari buku karangan Maulana Asri iaitu Syiah Rafidhah. Mohon anda bacanya dan SEBARKAN.

Fatwa ini telah dikeluarkan oleh Maulana Mufti Muhammad 'Abdul Syakur pada tahun 1928 dan disokong oleh berpuluh-puluh tokoh-tokoh ulama' ulung pada masa itu. Fatwa ini dikeluarkan oleh beliau ketika ditanya oleh seorang hamba Allah. Pertanyaan itu berbunyi, "Apa kata Ulama' dan para mufti berhubung dengan Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, adakah mereka itu Islam atau terkeluar dari Islam?. Adakah harus menyembahyangkan jenazah mereka atau turut serta dalam meraikan jenazah mereka?. Adakah harus menerima derma khairat dari mereka untuk pembinaan masjid atau tidak?.

Soalan-soalan tersebut dijawab oleh beliau begini;

"Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah terkeluar dari Islam. Oleh kerana sesetengah ulama' kita terdahulu tidak mengetahui hakikat ajaran Syiah kerana mereka (syiah) menyembunyikannya dan kitab-kitab mereka juga tidak ditemui, maka mereka tidak mengkafirkan golongan syiah berdasarkan sikap cermat dalam menghukum. Tetapi hari ini, kitab-kitab mereka itu boleh didapati di mana-mana dan hakikat ajaran mereka sudah terserlah. Kerana itu, semua ulama' muhaqqiqin sepakat mengkafirkan mereka. Mengingkari dharuriati ad-din (perkara-perkara yang diketahui umum sebagai ajaran Islam) tidak syak lagi merupakan kekufuran.

Al-Quran adalah di antara dharuriati ad-din yang paling tinggi dan paling jelas dan Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, sama ada ulama' mutaqaddimin atau muta'akhirin mereka, mengatakan Al-Quran yang ada sekarang telah diselewengkan. Di dalam kitab-kitab mereka yang muktabar terdapat lebih 2,000 riwayat berhubung dengan penyelewengan yang telah berlaku di dalam Al-Quran. Di dalamnya disebutkan 5 macam tahrif Al-Quran:

1.) Pengurangan

2.) Penambahan

3.) Penukaran perkataan-perkataan

4.) Penukaran huruf

5.) Kerosakan susunannya berlaku pada surah-surah, ayat-ayat dan kalimat-kalimatnya.

Ulama' mereka terus menerus mengakui riwayat tahrif pada kelima-lima macam yang tersebut di atas dan mereka mengatakan riwayat itu adalah riwayat mutawatir dan jelas menunjukkan telah berlakunya tokok tambah dalam Al-Quran dan kepercayaan mereka adalah menurut riwayat tersebut.

Di kalangan Ulama' Syiah terdapat hanya 4 orang yang menafikan tokoh tambah atau tahrif di dalam Al-Quran. Mereka ialah:

1.) Syeikh Shaduq Ibn Babwaih al-Qummi

2.) As-Syarif Murtadha

3.) Abu Ja'fat at-Tusi

4.) Abu Ali at-Tabrasi (Pengarang Tafsir Majma'ul Bayan)

Pendapat keempat-empat tokoh Syiah ini bertentangan dengan riwayat-riwayat yang mutawatir di sisi mereka dan tidak beralasan pula. Kerana itulah Ulama' Syiah sendiri telah menolak pendapat-pendapat mereka itu. Keterangan yang jelas dapat dilihat di dalam buku saya "Tanbihu Al-Ha'irin."

'Allamah Bahrul Firanggi Mahalli di peringkat permulaannya memfatwakan Syiah sebagai golongan Islam tetapi setelah beliau membaca kitab Tafsir Majma'ul Bayan, yakinlah beliau bahawa Syiah beriktiqad bahawa Al-Quran yang ada sekarang telah ditahrifkan (ditokok tambah). Kerana itu beliau kemudiannya memfatwakan kufurnya Syiah di dalam kitab beliau "Fawatihu-Ar-Rahamut Syarah Musallamu Ath-Thubut." Di dalam buku tersebut beliau menulis..."Orang-orang beriktiqad tentang berlakunya tokok tambah dalam Al-Quran tidak boleh disyak lagi tentang kafirnya."

Ringkasnya, kekufuran Syiah berdasarkan Aqidah mereka terhadap tahrif Al-Quran adalah satu perkara yang tidak dapat diragui lagi. Selain dari itu terdapat banyak lagi Aqidah-aqidah lain pada mereka yang menyebabkan kekufuran mereka seperti Aqidah bada', menuduh Ummahatul Mukminin dan lain-lain dalam keadaan tidak ada kemungkinan mereka metakwil lagi Aqidah-aqidah ini. Kerana itu tidak harus berkahwin dengan golongan syiah. Haram memakan sembelihan mereka. Begitu juga tidak harus menyembahyangkan jenazah mereka dan tidak boleh menyuruh mereka menyembahyangkan jenazah orang-orang Islam.

Mengikut ajaran agama Syiah di dalam kitab-kitab mereka, orang-orang Syiah diajarkan supaya berdoa kepada jenazah orang-orang Islam (Ahli Sunnah) begini..."Ya Allah!. Penuhkanlah kuburnya dengan api dan curahkanlah azab-Mu ke atasnya..."

Sekian, Wallahualam

Ditulis oleh: Ahraqu al-'Ibad

Muhammad Abdul Syakur

Aafaahu maulaahu.

Fatwa beliau ini telah disokong oleh Ulama' lain dengan mengeluarkan fatwa yang tersendiri atau dengan mengatakan jawapan ini benar dan masing-masing Ulama' yang telah menyetujuinya menurukan tanda tangan mereka di atas fatwa tersebut.Untuk mengetahui senarai Ulama' dan mufti yang tandantanganni fatwa tersebut, sila rujuk buku karangan Maulana Asri, Syiah Rafidhah, Di antara kecuaian Ulama' dan kebingunan ummah. halaman 69

SEBARKAN!.

[SESIAPA YANG MASIH BELUM FAHAM TENTANG SYIAH, BOLEH MESEJ PADA ANA OK. SYUKRAN]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...