Selasa, 23 November 2010

Kenali Ahli Sunnah wal Jamaah


Kenali Ahli Sunnah wal Jamaah


Mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama di kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi'in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka. Generasi pertama dikalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali-Imran ayat 7,

"Dia yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu, antara isinya ada ayat-ayat muhkam (yang terang maksudnya) itulah pokok-pokok isi al-Quran, dan yang lain ayat-ayat mutashabihat (yang mengandungi beberapa pengertian yang samar dan tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya condong kepada kesesatan, mereka selalu menurut apa yang mutashabihat kerana mempunyai tujuan menimbulkan fitnah, dan mencari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwil melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalami ilmunya berkata : "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutashabihat, semuanya itu daripada Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pengajaran daripadanya melainkan orang-orang yang berakal." (Ali Imran :7)

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tetang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran , sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi'in.

Mereka itu terdiru daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat mendalami ilmu agama dalam dalam berbagai-bagai bidang, seperti aqidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada pula yang mendalami ilmu qiraat.Ada yang sibuk dengan perkara yang membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangi musuh-musuhnya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai pemimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraisy kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah mesti melafazkan bai'ah iaitu lafaz ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulNya. Lafaz ikrar ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara ,mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 10,

"Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, "Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasat dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan Maha Penyayang." (al-Hasyr:10)

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahama tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya , para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga yang berlaku pada zaman para tabi'in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutashabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-leret.

Kesemua imam mazhab terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hanbal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Sumber: Fahaman dan Ideolgi Umat Islam karya Datuk Seri Hj Hadi Awang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...